Berangkat ke Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Akhir Kebangsaan




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohammad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 




BERAKAS, Isnin, 27 April. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), di sini.


Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/ 2026M yang lain.


Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.


Pada majlis musabaqah tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan Sabda dan seterusnya menyempurnakan perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim.


Diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin yang antara lain menyembahkan tema musabaqah tahun ini mengungkapkan kata-kata seruan 'Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya'.


"Sesungguhnya ia ditujukan kepada kita supaya akan terus menerus berusaha melaksanakan pembelajaran Al-Quran untuk memastikan generasi negara akan tetap celik Al-Quran, sesuai dengan dasar pembelajarannya melalui pendidikan formal di sekolah-sekolah, selain di masjid-masjid, balai-balai ibadah dan bahkan di rumah-rumah yang diinisiatifkan oleh ibu bapa dan keluarga untuk anak cucu mereka bahkan untuk diri mereka.


"Begitu juga sudah semakin berkembang minat mengikuti pembelajaran Al-Quran di sekolah-sekolah yang ditubuhkan dengan inisiatif pihak-pihak swasta yang khusus menjadi pusat mempelajari Al-Quran bagi sebahagian orang muda dan dewasa, sama ada untuk pandai membaca dan supaya celik Al-Quran ataupun untuk anak-anak mereka yang sedia belajar di sekolah-sekolah supaya akan segera pandai membaca Al-Quran dengan lancar," sembah Yang Berhormat lagi.


Yang Berhormat seterusnya menyembahkan bahawa dalam masa yang sama, adalah sesuai pembelajaran Al-Quran disertakan dengan memberikan makna ayat-ayat Al-Quran yang dibaca dan diajarkan itu.


Ini boleh disesuaikan dengan peringkat-peringkat umur, sembah Yang Berhormat lagi.


Yang Berhormat kemudiannya menyembahkan bahawa bahan untuk mengajar Al-Quran beserta memberikan makna ayat-ayat yang dipelajari sedemikian itu sudah tersedia iaitu Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya, terbitan Pusat Da'wah Islamiah (PDI).


Musabaqah kemudiannya dimulakan dengan bacaan Al-Quran dari tiga orang peserta iaitu Awang Ahmad Naufal bin Haji Nor Asman, Dayang Nur Amal Atiqah @ Aida binti Haji Sudirman, dan Awang Mohammad Ayob bin Ali.


Majlis diteruskan dengan Persembahan Nasyid (Al-Quran Syafa'ah) sebagai lagu tema Musabaqah oleh penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


Sejurus itu, Musabaqah disambung dengan memperdengarkan bacaan Al-Quran dari tiga orang peserta iaitu Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat, Pengiran Muhd. Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki, dan Dayangku Alma Hazirah binti Pengiran Haji Jofri.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah kemudiannya berangkat meninggalkan majlis setelah selesai enam orang peserta memperdengarkan bacaan masing-masing di hari pertama musabaqah.


Musabaqah tersebut berlangsung selama tiga hari berturut-turut dan akan disambung lagi pada hari kedua, esok malam, 28 April 2026.


Sementara itu, Majlis Pengumuman Keputusan bagi menentukan Johan Qari dan Qariah musabaqah berkenaan ialah pada Rabu malam Khamis, 29 April 2026 di Dewan Plenary, ICC, Berakas, bermula pukul 7.15 malam.


Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, JPM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST).















Close